Kutipan sewa rendah, ADUN Permatang cadang PPR Lembah Subang 1 ditukar kepada skim Rent-To-Own
SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menggesa supaya pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 diubah berikutan model sedia ada yang tidak efektif dan memerlukan reformasi segera.
Beliau berkata, PPR Lembah Subang 1 merangkumi sebanyak 3,004 unit kediaman dengan hampir 10,000 penduduk, menjadikannya sebuah “bandar menegak” yang dihuni oleh rakyat berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pengurusan kerajaan.
Namun begitu katanya, realiti di lapangan amat membimbangkan apabila kadar kutipan sewa dilaporkan rendah, sekitar 40 peratus manakala kerajaan negeri terpaksa menanggung puluhan juta ringgit kos tambahan bagi menampung penyenggaraan.
“Dengan anggaran kutipan 20 peratus atau sekitar RM1.2 juta setahun diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan jumlah ini adalah lebih kurang memandangkan kutipan yang rendah.
“Dengan jumlah ini, persoalan besar timbul adakah ia benar-benar mencukupi untuk menyenggara lebih 3,000 unit rumah bertingkat yang melibatkan kos lif, pam air, tangki, kebersihan dan keselamatan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Pada masa sama beliau turut membangkitkan isu pengurusan apabila terdapat laporan bahawa penduduk gagal membayar sewa akibat penutupan pejabat pembayaran sejak beberapa bulan lalu.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan rasional kerajaan negeri mengambil sehingga 80 peratus daripada kutipan sewa, sedangkan projek itu dibina oleh Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Persekutuan dan hanya diserahkan kepada negeri untuk tujuan pengurusan.
Sehubungan itu beliau mencadangkan agar peratusan kutipan sewa untuk penyelenggaraan ditingkatkan kepada 50 hingga 70 peratus dengan lebih banyak dana digunakan secara langsung untuk kerja penyelenggaraan
Pada masa sama beliau turut mencadangkan pelaksanaan skim Rent-To-Own (RTO) sebagai pendekatan baharu yang lebih mampan.
Menurut beliau, model sewa semata-mata gagal membina rasa pemilikan dalam kalangan penduduk.
“Cadangan ini termasuk menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai projek rintis RTO dengan garis panduan tertentu bagi memastikan hanya golongan layak mendapat manfaat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















