BERITA SEMASA

Isu ternakan babi: ‘Saya hanya jalankan amanah rakyat’ – Siew Ki

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, menyifatkan bahawa cadangan penternakan babi secara moden di Selangor adalah bagi memenuhi aspirasi dan suara sebahagian penduduk di kawasan berkenaan.

Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan adalah menjadi kewajipan buatnya untuk mengangkat setiap isu berbangkit ke peringkat Sidang DUN Selangor untuk perhatian kerajaan negeri.

“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ADUN, jadi apa-apa isu berkaitan rakyat, kita bawa ke Sidang Dewan,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Siew Ki menjelaskan beliau sedia berdepan sebarang tindakan termasuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor susulan isu berkenaan.

“Saya sudah sampaikan dalam Dewan. Perkara lain bukan tanggungjawab saya dan tak mahu komen lanjut,” katanya.

Terdahulu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin mengemukakan usul tergempar untuk merujuk Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Afif menjelaskan, usul itu dihantar kepada Pejabat DUN Selangor pada Khamis mengikut Peraturan 26(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan telah diterima untuk pertimbangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button