Warisan nafi beli, pujuk ADUN
KOTA KINABALU – Parti Warisan menafikan dakwaan bahawa parti itu sedang membeli atau memujuk mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan sentiasa berpegang kepada prinsip integriti dan tidak pernah terlibat dalam cubaan mempengaruhi wakil rakyat sebagaimana dakwaan yang tular.
“Komitmen kami sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shafie berkata, Warisan menghormati mandat rakyat dan menjadikan proses demokrasi sebagai asas utama dalam pentadbiran negeri.
“Kami akan terus melaksanakan peranan yang telah diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi yang memilih Warisan pada PRN berkenaan serta menegaskan parti akan kekal fokus kepada usaha membela rakyat.
Sebelum itu, beberapa laporan mendakwa terdapat 12 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas tidak berpuas hati, khususnya berhubung penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri, sehingga mencetuskan spekulasi mengenai pertemuan dengan Warisan.
Dalam PRN Sabah ke-17, GRS meraih 29 kerusi manakala Warisan memperoleh 25 kerusi. Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Ahad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








