BERITA SEMASA

Program hafazan al-Quran KEMAS diperluas mulai tahun depan – Ahmad Zahid

BERA – Program hafazan al-Quran bagi murid prasekolah di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan diperluas mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain bacaan sehingga Juzuk 30, murid prasekolah akan dibimbing menghafaz beberapa surah termasuk Surah Yasin, Al-Waqiah, Al-Mulk dan As-Sajdah.

“Saya mencadangkan supaya program hafazan di prasekolah KEMAS diperluaskan mulai tahun depan sebagai sebahagian usaha memperkukuh pendidikan agama.

“Guru-guru KEMAS perlu terlebih dahulu menguasai hafazan surah-surah berkenaan bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra bersama warga KEMAS Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zahid kemduiannya turut menggesa pendidik KEMAS supaya mengikuti perkembangan teknologi, termasuk memperluaskan program Smart Class dan penggunaan papan pintar di pusat KEMAS.

“Generasi hari ini membesar dalam persekitaran digital dan pendidikan awal kanak-kanak negara tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan ini.

“Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, bersama wakil rakyat, perlu diperkukuh bagi meningkatkan kemudahan teknologi, menaik taraf infrastruktur sedia ada serta memperbaiki persekitaran pembelajaran di pusat taska dan prasekolah Kemas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian akan terus memperkukuh transformasi pendidikan awal kanak-kanak Kemas dengan mengintegrasikan nilai murni dan pendidikan agama bersama penguasaan teknologi, selaras dengan keperluan generasi masa depan.

Zahid berkata selepas enam dekad berkhidmat kepada masyarakat, KEMAS perlu memasuki fasa baharu dan terus berkembang mengikut perubahan zaman tanpa mengabaikan prinsip asas pembangunan insan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button