BERITA SEMASA

TVET diperkukuh, pelajar tahfiz berpeluang miliki SKM Tahap 4 setara diploma

PUTRAJAYA – Pelajar tahfiz yang telah melengkapkan hafazan serta memiliki kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah kini berpeluang menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan program diploma sekali gus membuka laluan mereka untuk menyertai bidang kemahiran profesional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan itu diumumkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 1/2026 yang dipengerusikannya di Putrajaya hari ini.

Zahid TVET
Majlis TVET Negara turut menetapkan sasaran baharu iaitu 70 peratus lepasan SPM menyertai bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem TVET negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan kemahiran dan teknologi.

“Pelajar tahfiz yang telah melengkapkan hafazan serta memiliki kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah akan diberikan SKM Tahap 4 yang setara dengan program diploma.

“Langkah ini membuka laluan baharu kepada lepasan tahfiz untuk menyertai bidang kemahiran profesional serta memperluaskan peluang kerjaya mereka dalam pelbagai sektor industri,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Majlis TVET Negara turut menetapkan sasaran baharu iaitu 70 peratus lepasan SPM menyertai bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Setakat Disember 2025, kadar penyertaan dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa inisiatif strategik turut diputuskan bagi memperkukuh TVET termasuk Program Digital Freelancing TVET bersama Malaysia Digital Economy Corporation, program rintis TVETPreneurs bersama Management and Science University dan pengembangan Program FEN PROAKTIF 2.0 bagi meningkatkan literasi kewangan pelajar TVET.

Selain itu, peranan PERHEBAT turut diperkukuh sebagai pusat latihan bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bakal bersara, manakala sektor pertanian dijadikan keutamaan untuk pembangunan bakat dan inovasi.

“Secara keseluruhan, TVET akan terus menjadi laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun di Dataran Putrajaya.

Program itu akan menghimpunkan institusi TVET, pemain industri dan komuniti bagi mempamerkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button