Sambutan Hari TVET Negara 2024 pupuk budaya inovasi pelajar IPTA
KUALA LANGAT – Penggunaan teknologi realiti maya (VR) oleh pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) pada Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang telah melabuhkan tirainya Sabtu lalu, berjaya membuka mata orang ramai terhadap potensi graduan TVET.
Menurut salah seorang peserta yang juga pelajar Politeknik Banting, Muhammad Hifzhan Mohd Rosli, 20, penggunaan VR dalam pembelajaran telah memberikan pengalaman yang lebih interaktif kepadanya.
Jelasnya, yang kini menduduki semester keempat bagi jurusan penyelenggaraan kapal terbang (aircraft maintenance), menerusi penggunaan VR, pelajar kini tidak perlu turun ke lapangan untuk menjalankan amali, sekali gus menjimatkan masa, ruang dan wang.

“Untuk jurusan ini, tenaga pengajar dibekalkan dengan ada teknologi VR yang digunakan untuk simulasi menukar minyak enjin bagi pesawat ringan (light aircraft) dan pesawat berat (heavy aircraft).
“VR ini akan tunjuk langkah demi langkah cara menukar minyak hitam. Sebelum kita menukar minyak, kita ada amalan yang perlu dilakukan iaitu membaca manual atau buku panduan bagi mengenal pasti minyak yang diperlukan dan prosedur yang perlu diikuti.
“VR ini manfaat dia adalah kita boleh menjimatkan ruang dan masa. Kalau kita nak buat praktikal kita perlukan ruang yang besar tapi kita guna VR semuanya sudah ada, peralatan, pesawat dan ia juga menjimatkan wang,” katanya kepada Malaysia Tribune pada hari terakhir Sambutan Hari TVET Negara 2024 baru-baru ini.
Sambutan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam majlis yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM200 juta sebagai langkah memperkasa TVET di negara ini.

Mengulas mengenai peruntukan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, dana berkenaan akan diagihkan mengikut kursus dan institusi berkaitan bagi tujuh bidang yang telah ditetapkan.
“Bidang kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, teknologi elektronik dengan penumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk kejuruteraan. Kita juga mengambil kira tentang mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan penternakan.
“Sebagai permulaan, kita akan bahagikan kepada kursus khusus dan bekerjasama rapat dengan institusi TVET. Menjelang bulan depan, pengambilan (pelajar TVET) sudahpun disenarai pendek sehingga hujung tahun ini dan sekurang-kurangnya 15,000 akan dilatih,” kata Ahmad Zahid.
Sementara itu, pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Mohd Nor Farmin Samsudin yang mengikuti jurusan kejuruteraan elektronik komputer menyifatkan penggunaan teknologi digital telah mengubah pendekatan pembelajaran di institusi TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menyedari kepentingan tersebut, Mohd Nor Farmin, 21, telah bergiat aktif dalam menceburi dan mengkaji sendiri pembangunan teknologi robot dan sistem robotik.
“Robot-robot ini amat penting terutamanya dalam sektor perkilangan dan pembuatan negara. Justeru itu, tenaga kerja mahir seperti kami ini amat diperlukan dalam bidang robotik dalam menyelenggara dan mengendalikan program tersebut.
“Setiap robot itu kami akan programkan sendiri atau ada robot yang kita beli dah siap dan ia boleh diprogramkan seperti apa yang kita mahukan mengikut fungsi yang tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nor Farmin turut menzahirkan penghargaan buat kerajaan khususnya KPT atas komitmen yang ditunjukkan dalam usaha ke arah menyediakan pendidikan TVET yang berkualiti bagi pelajar IPTA di seluruh negara.
“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan khususnya KPT atas komitmen yang ditunjukkan dan saya berharap agar Sambutan Hari TVET Negara ini akan menjadi acara tahunan di masa akan datang,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








