KPT perkemas proses pemilihan UPU dengan ciri ketelusan baharu
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkemas proses pemilihan pelajar ke universiti awam menerusi UPU Online yang kini diperkukuh dengan ciri ketelusan baharu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pengukuhan itu
termasuk paparan statistik permohonan dua tahun, kalkulator merit dan ujian personaliti bagi membantu calon membuat pilihan lebih tepat dan mengurangkan rungutan pelajar cemerlang.
“Penaiktarafan itu memastikan calon memahami syarat program dan tahap persaingan sebelum memohon.
“Sistem baharu hanya memaparkan program yang memenuhi kelayakan akademik selain menyediakan purata merit dua tahun lepas serta maklumat kebolehpasaran graduan sebagai rujukan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Mustapha menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu sama ada sistem UPU Online sedia ada wajar dikaji semula bagi memastikan ketelusan termasuk pendedahan kriteria pemilihan pelajar serta langkah mengurangkan rungutan pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus pilihan.
Bagi keperluan mekanisme semakan semula dan rayuan lebih telus bagi pemohon cemerlang yang gagal, beliau berkata, sebahagian besar rungutan timbul kerana terlalu ramai pemohon hanya menyasarkan universiti ternama tanpa mengambil kira merit masing-masing.
“Semuanya ingin memohon di universiti yang terkenal sahaja, contoh Universiti Malaya, padahal ada universiti-universiti lain yang juga menawarkan kursus yang sama,” katanya.
Beliau menambah, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar meneliti panduan permohonan dengan lebih mendalam dan tidak sekadar mengisi 12 pilihan tanpa membuat semakan awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








