Martabat PJ, Mawar Qaseh Peduli perkasa wanita tangani keganasan berasaskan gender
BANTING – Kesedaran masyarakat mengenai keganasan berasaskan gender (KBG) perlu terus dipertingkatkan bagi membendung pelbagai bentuk keganasan terhadap wanita, termasuk penderaan fizikal, seksual, emosi dan digital.
Sehubungan itu, Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (Martabat PJ) dengan kerjasama Persatuan Mawar Qaseh Peduli menganjurkan program Kesedaran Membawa Kebebasan: Ke Arah Masyarakat Tanpa Keganasan di sini, semalam.
Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan wanita, mengenai hak mereka, bentuk-bentuk keganasan yang mungkin dihadapi serta saluran bantuan dan perlindungan yang disediakan.

Presiden Martabat PJ, April Chang berkata, setiap wanita berhak menjalani kehidupan yang selamat, dihormati dan bebas daripada sebarang bentuk keganasan.
“Melindungi wanita bermakna kita turut melindungi masa depan keluarga dan masyarakat.
“Tiada seorang pun sepatutnya hidup dalam ketakutan, sama ada di rumah, sekolah, tempat kerja mahupun di ruang digital,” katanya.
Menurut beliau, keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada mangsa, malah boleh meninggalkan trauma emosi dan mental yang berpanjangan.
Katanya, kanak-kanak yang membesar dalam suasana keganasan juga berisiko mengalami trauma serta kehilangan keyakinan diri.
Program itu turut memberi perhatian terhadap isu keganasan digital yang semakin meningkat, termasuk gangguan seksual dalam talian, penyebaran imej tanpa kebenaran serta ugutan menerusi media sosial.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mawar Qaseh Peduli, Nur Zairina Muzaini berkata, penglibatan agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat amat penting bagi memastikan mangsa mendapat bantuan serta perlindungan yang sewajarnya.
“Kerjasama ini bukan sahaja dapat merapatkan jurang pengetahuan, malah membantu membina keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan sosial yang disediakan,” katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Kasih Malaysia, Datin Seri Azlin Hezri.
Turut terlibat dalam program tersebut ialah jurulatih berpengalaman lebih 10 tahun, Manohara Subramaniam; Timbalan Presiden Martabat PJ, Haslinah Yacob; Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Banting, Iza Sharina Ismail; Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Langat, Zarina Sulong; Pegawai Pemasaran Pejabat PERKESO Klang, Amirul Izzat Yusri serta wakil Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Norhidayah Mohd.

Menerusi sesi perkongsian dan bengkel yang diadakan, para peserta didedahkan dengan maklumat berkaitan rawatan kecemasan, perlindungan undang-undang, bantuan kebajikan serta peluang ekonomi bagi membantu wanita membina kehidupan yang lebih berdikari.
Martabat PJ sejak lebih dua tahun lalu aktif melaksanakan pelbagai program kesedaran dan advokasi, khususnya melibatkan wanita daripada komuniti B40 dan golongan terpinggir.
Usaha itu dijangka diteruskan menerusi penganjuran program khas sempena 16 Hari Aktivisme Menamatkan Keganasan Terhadap Wanita pada tahun hadapan sebagai tanda solidariti dalam usaha membanteras keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








