Wanita Indonesia ditemukan lemas selepas terjun tasik
KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia ditemukan lemas selepas dipercayai terjun ke dalam tasik di Taman Tasik Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Komander operasi melaporkan kejadian melibatkan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terjun ke dalam tasik ketika cuba melarikan diri daripada pihak kedutaan.
“Operasi mencari mangsa dijalankan dengan kaedah pencarian di permukaan air sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman bagi mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, unit PPDA memulakan selaman pada jam 10.10 malam sebelum mangsa ditemui kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurutnya, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira enam meter dari tebing tasik dengan kedalaman sekitar tiga meter.
“Mangsa kemudiannya dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Operasi tersebut melibatkan anggota BBP Bandar Tun Hussein Onn dengan bantuan Unit PPDA dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Shah Alam dan BBP KLIA.
Seramai enam anggota bomba bersama 11 anggota PPDA terlibat dalam operasi berkenaan yang tamat sepenuhnya pada jam 11.10 malam.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), wakil Kedutaan Indonesia serta pasukan penyelamat lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








