Kanak-kanak enam tahun ditemukan lemas dalam terusan
SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam terusan Sungai Dua di Kepala Batas, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin dilaporkan sedang bermain di gigi air bersama seorang rakannya sebelum insiden tersebut berlaku.
Kanak-kanak itu dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam terusan yang mempunyai kedalaman kira-kira lima meter.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 5.29 petang.
“Rakan mangsa yang berada di lokasi memaklumkan bahawa mangsa terjatuh ke dalam terusan.
“Mangsa kemudian ditemukan hanyut dan terapung pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Keadaan terusan berarus dengan kedalaman dianggarkan lima meter. Pasukan bomba bertindak terjun ke dalam terusan bagi menyelamatkan mangsa dan memberikan rawatan awal resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








