BERITA SEMASA

RCI Tabung Haji: Syed Saddiq gesa tubuh pasukan khas, audit forensik 14 pelaburan bermasalah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 pelaburan bermasalah yang disenaraikan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diaudit secara forensik bagi mengenal pasti punca kegagalan dan kemungkinan berlaku penyelewengan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat setiap pelaburan berkenaan secara menyeluruh.

Katanya, siasatan tidak seharusnya bergantung kepada satu agensi penguatkuasaan sahaja, sebaliknya perlu membabitkan beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kerajaan perlu mengumumkan penubuhan multi-agency task force untuk siasat setiap satu daripada 14 pelaburan yang telah terbukti bermasalah,” katanya ketika berbahas pada Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.

Baca juga : RCI Tabung Haji: Lawan dengan fakta, bukan keluar dewan – Zaliha kepada pembangkang

Syed Saddiq berkata, laporan RCI turut mengesyorkan proses audit forensik terhadap pelaburan bermasalah bagi mengenal pasti punca serta kemungkinan berlaku penyelewengan.

Beliau turut membangkitkan risiko sistemik apabila masalah urus tadbir atau kegagalan pelaburan dalam sesebuah syarikat atau institusi berkaitan kerajaan boleh memberi kesan kepada entiti lain.

Menurutnya, keadaan itu akhirnya berisiko menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pembayar cukai sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendesak kerajaan memastikan komitmen kewangan berkaitan pelan pemulihan TH ditunaikan dan bukan sekadar menunjukkan institusi itu telah diselamatkan di atas kertas.

“Kalau kerajaan tak tunaikan tanggungjawab tersebut, kamu sebenarnya hanya memindahkan masalah daripada satu generasi kepada generasi akan datang dan daripada satu kerajaan kepada kerajaan yang lain,” katanya.

Pada akhir perbahasannya, Syed Saddiq menegaskan tindakan terhadap sebarang salah laku perlu dibuat secara konsisten tanpa mengambil kira sama ada individu yang terlibat merupakan sekutu atau lawan politik.

“Jangan ambil tindakan hanya kerana mereka kawan kita, esok lawan, kita ambil tindakan. Bila kawan, tak ambil tindakan.

“Tak kisah dia kawan atau lawan. Kerana realitinya, ini bukan tentang saya atau kamu, bukan tentang kawan atau lawan. Ini tentang hak lebih 10 juta pendeposit dan hak umat Islam di Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button