102 syarikat penyedia perkhidmatan kurier terima lesen daripada MCMC setakat Oktober – Fahmi
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi lesen kepada 102 syarikat penyedia perkhidmatan kurier di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) setakat 15 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 98 peratus daripada jumlah keseluruhan bungkusan di Malaysia dikendalikan oleh 15 pemegang lesen utama.
“Syarikat terlibat termasuk J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd, SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd (Ninja Van), Pos Malaysia Berhad (Pos Laju), GD Express Sdn Bhd (GDEX), City-Link Express (M) Sdn Bhd, ABX Express (M) Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.
“Dalam kumpulan itu, J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd dan SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd adalah dua pemain utama industri yang secara bersama mengendalikan sebanyak 73.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran kurier negara.
“Daripada 102 syarikat yang sudah dilesenkan, 21 pemegang lesen adalah syarikat antarabangsa, manakala baki 81 ialah syarikat tempatan, berdasarkan majoriti pegangan saham,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Fahmi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu jumlah syarikat kurier dan pegangan pasaran termasuk jenis syarikat antarabangsa atau tempatan.
Beliau turut bertanya sama ada kementerian akan menetapkan harga lantai untuk perkhidmatan penghantaran kurier memandangkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier yang diperkenalkan pada 2022 hanyalah sekadar panduan harga dan bukan mandatori.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pengguna serta mengekalkan persaingan sihat dalam industri, MCMC sudah memperkenalkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier.
Langkah itu katanya, bertujuan untuk mengimbangi kualiti perkhidmatan dengan daya saing harga dalam industri dan mengelakkan amalan harga ‘predatori’ yang boleh menjejaskan kelangsungan penyedia perkhidmatan kecil dan sederhana.
“Garis Panduan Harga Rujukan berkenaan bukanlah harga minimum yang mandatori, sebaliknya berfungsi sebagai panduan rujukan harga bagi pemegang lesen.
“Pendekatan itu adalah kaedah kawal selia kendiri, di mana penetapan kadar harga perkhidmatan kurier dibuat oleh pihak industri sendiri berdasarkan kos operasi yang cekap, selaras dengan peruntukan Seksyen 36, Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741),” katanya.
Beliau berkata, cadangan untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan kurier akan diperhalusi berdasarkan kajian yang komprehensif, termasuk melalui proses pengauditan kos dan struktur harga industri.
Katanya, perkara itu bagi memastikan sekiranya harga lantai mandatori diperkenalkan, ianya adalah wajar kepada industri agar terus dapat beroperasi secara mampan serta mengambil kira implikasi kos kepada pengguna-pengguna perkhidmatan kurier.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








