POLITIK

PRN Johor: Pengundi diingat waspada akaun palsu, sabotaj digital – Fahmi

MUAR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan pengundi supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik sabotaj digital termasuk penggunaan akaun palsu yang menyamar sebagai calon bagi menyebarkan fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

fahmi fadzil
Di Majlis Makan Malam Amal semalam.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang memantau secara rapi penyebaran maklumat palsu berkaitan pilihan raya, termasuk cubaan mewujudkan akaun media sosial palsu menggunakan wajah dan identiti calon yang bertanding.

Menurutnya, semua platform media sosial telah mengiktiraf penyebaran maklumat palsu berkaitan pilihan raya sebagai pelanggaran terhadap garis panduan komuniti masing-masing.

“Kita mahu mengelakkan berita palsu daripada terus tersebar dan saya menyeru para pengundi supaya sentiasa merujuk kepada media arus perdana untuk mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal di sini semalam.

Fahmi turut melahirkan rasa kesal terhadap beberapa insiden khianat fizikal yang berlaku sepanjang tempoh kempen, termasuk perbuatan merosakkan bendera parti dan papan iklan calon.

Beliau betkata, amalan berunsur gengsterisme atau tindakan menakut-nakutkan jentera parti serta orang ramai tidak sepatutnya berlaku dalam proses demokrasi yang matang.

“Semua pihak perlu menghentikan perbuatan sedemikian dan memastikan kempen dijalankan secara sihat, matang serta menghormati lawan politik,” katanya lagi.

Menurut Fahmi, perkembangan politik negara ketika ini menuntut setiap calon dan parti yang bertanding mengutamakan kempen berasaskan idea serta dasar, bukannya menyerang keperibadian pihak lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kempen Pakatan Harapan di kawasan yang ditandingi parti itu setakat ini berjalan lancar walaupun berdepan beberapa insiden kecil yang dipercayai bertujuan mensabotaj kempen.

“Terdapat kejadian melibatkan poster dikoyakkan, papan iklan dirosakkan dan bendera parti dibakar, namun ia tidak menjejaskan momentum kempen yang sedang berlangsung.

“Memang ada beberapa insiden seperti poster koyak, papan iklan rosak dan bendera dibakar, tetapi secara keseluruhannya kempen kita berjalan dalam keadaan tenang dan momentum tidak terjejas,” katanya lagi.

PRN Johor ditetapkan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala proses pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button