LUAR NEGARA

Tujuh dipercayai maut dalam nahas helikopter persiaran di Kenya

NAIROBI – Tujuh pelancong dikhuatiri maut selepas sebuah helikopter yang disewa khas terhempas di kawasan pergunungan Lolokwe, daerah Samburu, kira-kira 350 kilometer dari ibukota Kenya, pagi Rabu.

Nahas berlaku pada pukul 9.13 pagi waktu tempatan ketika helikopter berkenaan dalam penerbangan dari kawasan pemuliharaan hidupan liar Loisaba menuju ke Sungai Ewaso Nyiro yang mengalir melalui Taman Negara Samburu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini belum mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang berada di dalam helikopter terbabit.

Akhbar tempatan, The Star, melaporkan tujuh pelancong dipercayai berada di dalam helikopter itu ketika nahas berlaku namun kewarganegaraan mereka masih belum dikenal pasti.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA) berkata, helikopter berkenaan menggunakan nombor pendaftaran 5Y-GYM dan merupakan jenis Eurocopter EC130B4.

Menurutnya, KCAA sedang menyelaras tindakan bersama agensi serta pihak berkepentingan berkaitan susulan kejadian itu.

Siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan yang membawa kepada nahas berkenaan kini diketuai Jabatan Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Jalan Raya dan Pengangkutan Kenya.

KCAA turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button