BERITA SEMASA

MCMC perkukuh capaian Wi-Fi berkapasiti tinggi di USM

NIBONG TEBAL – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh ketersambungan digital di institusi pendidikan awam menerusi pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut MCMC, pelaksanaan projek berkenaan di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM, yang bertujuan meningkatkan kapasiti serta kualiti capaian Wi-Fi bagi menyokong aktiviti pembelajaran dan kehidupan kampus.

“Pelaksanaan itu memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi nadi aktiviti warga kampus seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman yang semakin bergantung kepada perkhidmatan digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini meninjau pelaksanaan projek itu di sini.

Teo
Teo Nie Ching hari ini meninjau pelaksanaan pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam pada itu katanya di USM, sebanyak 822 titik akses tambahan menerusi Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 telah siap dilaksanakan pada 18 September lalu, lebih awal daripada sasaran asal 23 September.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 740 titik akses dipasang di USM Kampus Nibong Tebal, manakala masing-masing 41 titik akses disediakan di USM IPPT Bertam dan USM Bukit Jambul.

Katanya, pemasangan berkenaan melengkapkan 1,103 titik akses yang disediakan menerusi Fasa 2 pada Julai 2025, menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 September 2026.

Dalam perkembangan sama katanya, kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di USM Kampus Induk sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang 30 Oktober ini.

Katanya kemajuan di USM merupakan sebahagian daripada inisiatif peluasan Wi-Fi di Pulau Pinang yang melibatkan 32 lokasi, termasuk IPTA serta institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Daripada jumlah itu, 24 lokasi atau 75 peratus telah siap setakat 29 September 2026, dengan anggaran pelaburan sebanyak RM61.5 juta menerusi USP.

Pada peringkat nasional pula, projek Wi-Fi berkenaan melibatkan 538 lokasi yang merangkumi IPTA serta institusi latihan di bawah MARA dan KESUMA, dengan anggaran pelaburan keseluruhan sekitar RM634.1 juta.

Sebanyak 408 lokasi atau 76 peratus telah siap setakat 30 September 2026, manakala pelaksanaan di lokasi selebihnya sedang diteruskan.

Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pendidikan serta penyedia perkhidmatan bagi memperluas capaian Internet berkualiti secara berperingkat.

MCMC berkata, usaha itu diharap dapat memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa, tenaga pengajar serta komuniti pendidikan melalui capaian Internet yang lebih stabil dan pantas, selain menyokong pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button