AUTOMOTIF & TEKNOLOGIGAYA HIDUPKEMENTERIAN KOMUNIKASIRENCANA

MCMC–MMU tubuh Pusat Transformasi AI, saran pensijilan pempengaruh demi ekosistem digital lebih beretika

DI tengah-tengah perkembangan pesat teknologi global, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh lagi berperanan sebagai pengguna pasif dalam dunia digital.

Sebaliknya, mereka perlu menjadi pembangun teknologi aktif yang mampu mencipta, membangun dan mengurus inovasi baharu khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata, selari dengan aspirasi itu, MCMC bekerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) menubuhkan Pusat Transformasi AI.

GPRCFMY
Eneng Faridah menegaskan rakyat perlu menjadi pembangun yang aktif, bukan sekadar pengguna pasif dalam ekosistem digital negara.

“Ia satu pusat yang berfungsi membangunkan kapasiti insan, memperkukuh penyelidikan serta melatih tenaga kerja masa depan.

“Langkah ini merupakan antara strategi nasional untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi AI tetapi pembangun aktif dalam ekosistem digital,” katanya pada sesi dialog sempena Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Tambah beliau, ketika majoriti rakyat negara ini hanya menggunakan teknologi seperti aplikasi atau platform digital, negara maju telah melangkah jauh dengan melahirkan pembangun sistem, jurutera data, pencipta algoritma dan inovator AI.

“Justeru kita perlu memastikan rakyat bersedia bukan menjadi pengguna pasif tetapi pembangun yang aktif,” katanya.

Eneng Faridah juga menjelaskan bahawa landskap digital Malaysia sudah pun sangat terhubung.

Kawasan berpenduduk dengan kira-kira 20 peratus per kilometer persegi mencatat lebih 99 peratus liputan Internet, satu pencapaian yang membuktikan infrastruktur bukan lagi isu utama.

“Bagaimanapun cabaran digital terbesar negara kini beralih daripada soal liputan kepada isu kredibiliti, kepercayaan dan etika digital.

“Ia termasuklah peningkatan berita palsu serta manipulasi maklumat yang diperkasakan kecerdasan buatan.

“Teknologi ibarat pedang bermata dua. Ia membantu masyarakat menghasilkan kandungan berkualiti seperti mengelakkan kesilapan tatabahasa tetapi pada masa sama berpotensi menyebarkan maklumat salah pada skala lebih luas dan pantas,” tegasnya lagi.

GPRCFMY
Sebahagian peserta dan delegasi luar negara yang menyertai program tersebut.

Jelas beliau, perkara itu membuatkan tumpuan kerajaan kini memfokuskan kepada sambungan bermakna, literasi digital dan pengukuhan ekosistem maklumat yang bertanggungjawab.

Dalam sesi diskusi sama, Eneng Faridah turut menggariskan satu lagi isu penting dalam ekosistem digital negara iaitu ketiadaan garis panduan atau sistem kawal selia yang jelas terhadap pempengaruh.

“Memandangkan industri pemasaran dan pengiklanan bergantung besar kepada pempengaruh, MCMC berpandangan bahawa langkah terbaik ialah mewujudkan sistem pensijilan atau penarafan.

“Pengawal seliaan itu tidak semestinya dilakukan oleh kerajaan sebaliknya harus bermula daripada industri sendiri.

“Kawalan etika dan kod tingkah laku telah lama wujud untuk profesion tertentu seperti peguam atau doktor namun belum ada dalam konteks pempengaruh umum. Justeru, saya menyarankan inisiatif ini dibuat badan seperti Forum Kandungan Komunikasi,” katanya.

MCMC
MCMC berpandangan bahawa langkah terbaik dalam menangani isu pempengaruh yang menjadi sumber industri pemasaran dan pengiklanan ialah mewujudkan sistem pensijilan atau penarafan buat golongan tersebut.

Menurut beliau, pensijilan boleh merangkumi modul khas berkaitan kod kandungan dan etika komunikasi digital seterusnya memberikan kelayakan kepada pempengaruh yang lulus.

Dengan cara itu, pengiklan mempunyai rujukan jelas dalam memilih wajah atau suara yang mewakili jenama mereka secara bertanggungjawab.

“Pemilihan pempengaruh yang salah boleh memberi implikasi besar bukan sahaja kepada reputasi jenama tetapi juga kepada khalayak yang terdedah kepada kandungan mengelirukan atau bertentangan dengan nilai masyarakat,” ujarnya.

Menggabungkan pembangunan bakat dalam AI dan pengukuhan etika kandungan melalui pensijilan pempengaruh, pendekatan MCMC itu menggambarkan visi lebih besar iaitu melahirkan masyarakat digital yang matang, kreatif dan bertanggungjawab.

MCMC melihat masa depan digital Malaysia sebagai ruang di mana rakyat bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu mencipta penyelesaian, memahami risiko serta mengurus maklumat dengan beretika.

Dengan Pusat Transformasi AI sebagai pemacu dan pensijilan pempengaruh sebagai pelindung ekosistem maklumat, Malaysia diyakini mampu melangkah ke era digital yang lebih berdaya tahan, inovatif dan dipercayai.

GPRCFMY 2025 yang berlangsung selama tiga hari dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) dengan kerjasama strategik bersama MCMC dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Acara itu menghimpunkan lebih 500 pengamal perhubungan awam tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan masa depan komunikasi, etika digital dan cabaran AI dalam dunia profesional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button