BERITA SEMASA

MCMC nafi syarat 80 peratus kandungan tempatan dalam lesen penyiaran dimansuh

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut MCMC, dakwaan kononnya Malaysia terpaksa memansuhkan syarat tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.

Menurutnya, di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) yang dikeluarkan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), penyiar swasta tidak pernah dikenakan kewajipan memenuhi kuota 80 peratus kandungan tempatan.

“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing berdasarkan garis panduan serta piawaian kandungan ditetapkan MCMC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC turut berkata, tiada larangan untuk menyiarkan kandungan antarabangsa pada waktu perdana, dan penjadualan kandungan adalah mengikut keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta selaras peraturan sedia ada.

“Fokus utama ketika ini adalah usaha kerajaan membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) sebagai langkah memperkukuh daya tahan industri penyiaran negara.

“Dasar tersebut dijangka memperkukuh ekosistem penyiaran tempatan, memastikan pembangunan kandungan berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus telus dan saksama melibatkan penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button