MPAJ percepat tempoh mohon lesen penjaja kurang dua minggu
AMPANG JAYA – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menegaskan komitmennya untuk mempermudah urusan penjaja serta peniaga mikro dengan memastikan permohonan lesen di lokasi yang dibenarkan dapat diluluskan dalam tempoh kurang 14 hari.
Timbalan Yang Dipertuanya, Ts Hasrolnizam Shaari berkata, langkah itu seiring usaha mempercepatkan proses pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kami di MPAJ sentiasa mengutamakan hal ini. Peniaga dalam kawasan MPAJ kita lihat sebagai aset yang perlu dibantu, diberi ruang dan jaminan untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
“Kita akan teliti setiap peluang untuk membantu mereka, termasuk menyediakan lebih banyak lokasi perniagaan. Kini terdapat antara 3,000 hingga 5,000 peniaga berdaftar di bawah MPAJ.
“Lesen kita luluskan dengan mudah selagi mereka berada di lokasi yang dibenarkan serta terlibat dalam aktiviti yang sesuai. Kita beri jaminan kelulusan kurang 14 hari. Jika lokasi tidak sesuai, kita tidak menolak begitu sahaja, sebaliknya kita kaji terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, MPAJ sebelum ini melaksanakan inisiatif memudah cara perniagaan (ease of doing business) melibatkan syarikat Texas Instrument (Malaysia) Sdn Bhd (TIM) di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Hulu Kelang.
Menurutnya, penyelesaian awal isu membabitkan tanah dan teknikal dipercepatkan melalui beberapa sesi prarundingan khas bersama agensi teknikal seperti Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan lain-lain pihak berkaitan.
“Selepas itu, pelan pembangunan merangkumi Pelan Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Jalan dan Perparitan, Pelan Bangunan dan Pelan Landskap dikemukakan secara serentak kepada MPAJ. Langkah ini membolehkan tempoh kelulusan dipendekkan kepada 30 hari.
“Inisiatif ini selari dengan dasar Speed Selangor yang diperkenalkan bagi mempercepatkan kelulusan dan menarik pelaburan untuk projek berimpak tinggi,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








