BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Anak beruang matahari ditemui dalam kereta

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan selepas didapati menyimpan seekor beruang matahari dalam keretanya di pinggir hutan berhampiran Bandar Seri Alam, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menemui haiwan dilindungi berkenaan dalam keadaan masih hidup.

Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Yusof berkata, turut dirampas sebuah kereta, peralatan penyimpanan serta telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM70,000.

“Semakan mendapati suspek gagal mengemukakan lesen atau kebenaran bertulis untuk menyimpan dan memelihara beruang matahari tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Suspek yang berasal dari Iskandar Puteri dibebaskan dengan jaminan polis manakala siasatan lanjut dijalankan PERHILITAN Johor.

Menurut Rosli, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memerangi aktiviti haram melibatkan hidupan liar.

“Usaha menyelamatkan spesis terancam daripada menjadi mangsa perdagangan haram perlu digiatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button