BERITA SEMASA

Juruterbang ditahan di Indonesia bukan pengendali penerbangan – MAG

KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan juruterbang yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terlibat dalam cubaan menyeludup dadah bukan individu yang mengendalikan pesawat bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada hujung bulan lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAG memaklumkan individu terbabit merupakan pegawai kedua yang bertugas sebagai pemerhati dan bukan sebahagian daripada kru penerbangan yang mengendalikan pesawat.

Menurut MAG, pegawai berkenaan juga tidak menjalankan sebarang tugasan selama dua hari sebelum insiden itu berlaku.

“Pesawat berkenaan dikendalikan dengan selamat sepanjang masa oleh dua juruterbang yang berkelayakan.

“MAG memandang tindakan individu tersebut sebagai tidak boleh diterima sama sekali dan bertentangan dengan piawaian profesional yang diharapkan daripada semua kakitangan,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, MAG berkata, syarikat sedang memperkukuhkan rangka kerja keselamatan termasuk melaksanakan saringan air kencing secara menyeluruh terhadap juruterbang.

“Sebagai langkah segera, saringan air kencing mandatori dilaksanakan terhadap semua juruterbang Malaysia Airlines, selain saringan yang lebih ketat akan dijalankan ke atas semua juruterbang yang masih aktif,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 27 Julai lalu selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi bersama sejumlah kecil syabu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button