Arab Saudi laksana hukuman mati ke atas 8 pesalah, majoriti kes dadah
RIYADH – Lapan individu warga asing termasuk seorang warganegara dikenakan hukuman mati oleh kerajaan Arab Saudi atas kesalahan menyeludup dadah jenis hashish ke negara itu dalam masa sehari semalam.
Laporan media rasmi negara itu melaporkan empat daripada mereka adalah warga Somalia, tiga warga Ethiopia manakala seorang warganegara itu yang didapati bersalah membunuh ibu kandungnya.
Sejak awal tahun 2025, Arab Saudi telah melaksanakan 230 hukuman mati, menurut rekod yang dikumpulkan agensi berita AFP berdasarkan kenyataan rasmi kerajaan.
Daripada jumlah itu, 154 kes melibatkan kesalahan berkaitan dadah, menunjukkan peningkatan ketara pelaksanaan hukuman mati oleh kerajaan Arab Saudi.
Kadar pelaksanaan hukuman mati yang ‘agresif’ pada tahun ini meletakkan negara itu sebagai negara tertinggi dalam pelaksanaan hukuman mati dalam beberapa dekad ini, mengatasi rekod 338 pada tahun lalu.
Peningkatan itu dipercayai berpunca daripada pelaksanaan tegas kerajaan terhadap penyalahgunaan dadah melalui kempen yang dikenali sebagai “perang terhadap dadah” sejak 2023.
Sebahagian besar daripada pesalah yang dijatuhi hukuman pada tahun ini merupakan individu yang ditahan sejak beberapa tahun lalu dan baru sahaja melalui proses perundangan serta sabitan.
Arab Saudi sebelum ini menggantung hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah selama hampir tiga tahun, namun dasar itu ditamatkan pada penghujung 2022.
Sejak itu, pelaksanaannya menunjukkan trend meningkat dengan 19 hukuman mati pada 2022, dua kes pada 2023 dan melonjak kepada 117 kes pada 2024.
Namun begitu, tindakan tersebut menerima kecaman daripada kumpulan hak asasi antarabangsa yang menyifatkan ia bertentangan dengan imej baharu Arab Saudi sebagai sebuah negara terbuka dan progresif di bawah inisiatif Wawasan 2030 pimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Kerajaan Arab Saudi mempertahankan dasar tersebut dengan menegaskan bahawa hukuman mati hanya dilaksanakan selepas semua proses perundangan, rayuan dan semakan undang-undang disempurnakan dan ia dianggap perlu bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








