
Penganggur didakwa bunuh isteri, bakar kenderaan mertua
TANGKAK – Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam satu kejadian di Bukit Gambir, awal Jun lalu.
Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh isterinya, Iecah Junus, 34, di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lalu.
Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, memetik laporan Bernama hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, memohon agar tertuduh tidak diberi jaminan memandangkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302.
Selain itu, pihak pendakwaan turut mengemukakan permohonan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani penilaian kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pembentangan laporan patologi, toksikologi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib memaklumkan, tertuduh turut akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Muar hari ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan tersebut berkaitan insiden khianat dengan api membabitkan tindakan tertuduh membakar sembilan buah kenderaan di halaman rumah mentuanya di Kampung Pengkalan, Kampung Durian Chondong pada 3 Jun lalu.
Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 4 Jun lalu bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








