BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hukuman rotan perlu dikembalikan di sekolah – Dr. Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, menegaskan sudah tiba masanya hukuman rotan dikembalikan semula ke sekolah sebagai usaha membentuk disiplin murid, susulan kejadian pelajar maut ditikam di sekolah hari ini.

Menurut beliau, insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas kes seorang pelajar dirogol sekumpulan empat pelajar di dalam bilik kelas, di Melaka.

Kejadian itu menurutnya menggambarkan krisis moral dan disiplin yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.

“Masihkah kita mahu menafikan hukuman rotan untuk mendidik? Negara lain mungkin tidak menggunakan rotan, tetapi adakah hasilnya melahirkan generasi beradab?

“Sebagai contoh, di United Kingdom yang tidak membenarkan hukuman rotan, mereka merekodkan hampir 1,664 aduan gangguan seksual di sekolah rendah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Dr. Akmal turut mempersoalkan pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) yang cenderung meniru sistem pendidikan negara maju tanpa mengambil kira perbezaan budaya dan nilai tempatan.

“Dalam Islam sendiri, dibenarkan hukuman pukul dengan cara yang betul dan niat mendidik, contohnya terhadap anak yang meninggalkan solat,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, Malaysia perlu membentuk sistem pendidikan mengikut acuan sendiri tanpa terlalu terpengaruh dengan pendekatan luar yang tidak sesuai dengan realiti masyarakat di sini.

“Masa depan generasi akan datang bergantung kepada tindakan kita hari ini. Sistem lama terbukti berjaya melahirkan insan berdisiplin dan berakhlak, mengapa kita mahu menafikannya?” katanya.

Dr. Akmal turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan, antaranya mengembalikan kuasa merotan kepada guru dengan tujuan mendidik, menjalankan saringan kesihatan mental wajib kepada semua pelajar, menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah dan mengawal penggunaan internet dan kandungan media digital dalam kalangan pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button