Isteri berpakat dengan kekasih cuba bunuh suami
PASIR GUDANG – Ketaksuban terhadap wang tuntutan insurans dipercayai menjadi punca seorang wanita bertindak berpakat dengan teman lelakinya untuk membunuh suaminya sendiri dalam kejadian di Taman Ehsan Jaya, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, diserang ketika sedang tidur di rumahnya.
Menurutnya, suspek lelaki yang dipercayai kekasih kepada isteri mangsa bertindak menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga menyebabkan lelaki itu sesak nafas.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Disember lalu, apabila isteri mangsa bukan sahaja membenarkan suspek masuk ke dalam rumah, malah turut memegang kaki mangsa bagi memudahkan cubaan pembunuhan dilakukan.
“Mangsa berjaya melawan dan melepaskan diri sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, siasatan lanjut mendapati kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang serta butiran polisi insurans yang dicarumkan oleh mangsa.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam menahan kedua-dua suspek pada 23 Disember lalu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan pertuduhan telah dikeluarkan.
“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















