Remaja didakwa bunuh Nurfisya
KOTA BHARU – Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan yang mayatnya ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nurfisya Zulkifly, 19, antara jam 11.40 malam pada 30 April hingga 12.20 tengah malam 1 Mei lalu di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar berkaitan kes berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.
Sebelum itu, media melaporkan mayat seorang penuntut kolej wanita ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh pada 1 Mei lalu dengan 61 kesan tikaman pada seluruh badan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sebelum identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.
Susulan kejadian itu, polis turut menahan empat individu termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















