Papagomo didakwa hantar komunikasi palsu di Facebook
SEPANG – Penulis blog kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi palsu menggunakan Facebook pada 28 Mei lalu.
Wan Muhammad Azri, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Dia didakwa dengan sengaja menghantar hantaran palsu untuk mengganggu orang lain pada pukul 7.32 malam, yang kemudian dilihat kira-kira pukul 11.45 malam di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Denda tambahan RM5,000 sehari boleh dikenakan sekiranya kesalahan berterusan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fatin Hadni Khairuddin, mencadangkan ikat jamin RM5,000 seorang penjamin.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jumlah lebih rendah memandangkan anak guamnya menanggung enam anak, termasuk seorang anak autisme yang memerlukan kos tinggi.
Hakim membenarkan ikat jamin RM5,000 seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Januari depan.
Muhammad Rafique berkata, perbicaraan dijadualkan pada 27 hingga 30 April depan, dan beberapa ahli Parlimen dijangka dipanggil memberi keterangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








