BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pempengaruh, adik buat laporan palsu didakwa hari ini

MUAR – Seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Muar hari ini selepas disyaki berpakat membuat laporan palsu berkaitan insiden kereta dipandunya jatuh ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 38 dan 30 tahun itu bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat.

“Tindakan pendakwaan diambil selepas pihak polis menerima arahan daripada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes terbabit berkaitan laporan kehilangan seorang lelaki sebelum kereta yang dipandunya ditemukan terjunam ke dalam sungai di Bukit Kepong pada 15 Julai lalu.

Pihak polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), RELA, APM serta penduduk tempatan.

Bagaimanapun, menamatkan operasi selepas siasatan mendapati terdapat keraguan dalam laporan yang dibuat oleh adik lelaki mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki yang didakwa hilang itu sebenarnya tidak berada dalam negara dan kejadian dilaporkan adalah rekaan,” jelas Raiz Mukhliz.

Insiden itu mencetuskan kecaman pelbagai pihak susulan tindakan dua beradik terbabit yang dianggap mempermainkan usaha pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelam dan menjejaki sungai berkenaan.

Susulan itu, JBPM turut membuat laporan polis selepas mendapati laporan awal yang diterima adalah palsu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button