Guru Matematik mengaku tidak bersalah amang seksual terhadap pelajar pendidikan khas
MUAR – Seorang guru Matematik berdepan tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki pendidikan khas selepas didakwa melakukan perbuatan itu dalam kelas di sebuah sekolah menengah di sini, pada 30 Jun lalu.
Tertuduh, Md Rasbe Mezan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini dan memohon dibicarakan, menurut laporan Buletin TV3.
Mengikut pertuduhan, Md Rasbe didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 14 tahun ketika kelas pendidikan khas pada pukul 11 pagi.
Kes ini dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan sekurang-kurangnya dua kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh hadir tanpa peguam.
Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh membayar ikat jamin berkenaan dan sebutan serahan dokumen ditetapkan pada 15 Disember ini.
Berdasarkan laporan polis, mangsa, seorang pelajar pendidikan khas, mendakwa dicabul oleh guru ganti kelasnya ketika itu.
Selepas kejadian, mangsa tidak hadir ke sekolah, namun menceritakan pengalaman itu kepada guru apabila bertanya mengenai masalah yang dihadapinya.
Kes ini bukan yang pertama melibatkan Md Rasbe. Pada Ogos lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan amang seksual terhadap pelajar lain semasa lawatan sambil belajar dalam bas.
Selain itu, tertuduh juga dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh bagi kesalahan serupa yang berlaku dalam bas dalam perjalanan ke utara tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








