JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur dibebas kes amang seksual, mahkamah tegur kecuaian siasatan

PUTRAJAYA – Seorang penganggur dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak di sini daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, empat tahun lalu.

Hakim, Datin M Kunasundary memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.

Menurut beliau, mahkamah turut mendapati terdapat kecuaian dalam siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak.

“Dalam kes ini, laporan dibuat selepas beberapa tahun dan siasatan sepatutnya dilaksanakan secara lengkap termasuk aspek pemilikan premis kejadian,” katanya ketika menyampaikan keputusan hari ini.

Tertuduh, Na Li Jin, 34, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 7 hingga 8 Oktober 2022.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan apabila tertuduh sebenarnya tidak menyewa di rumah berkenaan pada waktu kejadian.

“Berdasarkan keterangan saksi, tertuduh hanya mula menetap di premis itu pada 2024, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana kejadian boleh berlaku pada 2022,” katanya lagi.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Selepas menilai keseluruhan bukti, mahkamah mendapati tertuduh wajar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian berkata, anak guamnya sebelum ini turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah akta sama, namun kes tersebut digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button