Pempengaruh media sosial didakwa rogol, amang seksual dua remaja
KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial berdepan dua pertuduhan di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing berkaitan kes rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, yang didakwa berlaku bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Di hadapan Hakim Tasnim, Muhammad Iman Hazriq didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan di dalam bilik sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara 1 tengah hari hingga 8 malam pada 22 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Mohd Kafli, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan, mangsa dan keluarga mangsa sehingga kes selesai.
Peguam, Mohamad Akmal Mohd Taufik yang mewakili tertuduh, memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.
“Anak guam saya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
“Dia juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dan tiada risiko untuk melarikan diri,” katanya memetik laporan Metro Online.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April ini masing-masing bagi sebutan kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








