JENAYAH & MAHKAMAH

Fasilitator motivasi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual remaja

KANGAR – Seorang fasilitator motivasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Padang Besar, Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, dari Kota Tinggi, Johor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Kes yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret kerana ketiadaan hakim yang bercuti.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zulkarnain didakwa melakukan perbuatan tersebut di dewan sebuah sekolah kira-kira pukul 9 pagi, 10 Julai lalu, memetik laporan Buletin TV3.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 11(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam Nur Ayuni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan yang mencadangkan RM20,000 dan rayuan peguam tertuduh untuk jumlah minimum.

Kes akan disebut semula pada 16 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan laporan forensik.

Difahamkan, pada Februari tahun lalu, tertuduh pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di Melaka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button