Guru muzik didakwa 14 pertuduhan amang seksual enam pelajar perempuan
KLANG – Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan sekolah menengah di Sabak Bernam.
Tertuduh, Idi Johan Mohd Zohdi, 45, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuannya yang masing-masing berusia 15 tahun bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk bilik darjah, stor peralatan muzik, sebuah rumah dan sebuah kereta di sekitar Sabak Bernam antara Januari hingga Februari lalu.
Guru yang mengajar subjek muzik itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Selain itu, Seksyen 16(1) akta berkenaan turut memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Tertuduh diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Mohd Imran Tamrin, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan, Ainul Aizat Ahmad Ishak dan Intan Syakieraa Zakaria.
Dalam rayuannya, Mohd Imran memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Anak guam saya telah berkhidmat sebagai guru sejak 2002, mempunyai seorang anak dan tidak mempunyai sumber pendapatan lain.
“Dia juga tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin oleh pihak sekolah,” katanya memetik laporan BH Online.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan, termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








