JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal keselamatan, teman lelaki didakwa amang seksual murid sembilan tahun di tandas sekolah

SEREMBAN – Seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan di Rembau, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muahmad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang merupakan murid tahun tiga di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Nor Aleeya diwakili peguam Norfazrin Jamal, manakala Muahmad tidak diwakili peguam.

Peguam bela dalam rayuannya memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000, memandangkan pendapatan bulanannya hanya RM1,600 selain menanggung ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta seorang adik yang menuntut di kolej komuniti. Anak guam berhasrat membersihkan nama dan memberi jaminan akan hadir ke mahkamah tanpa gagal,” katanya memetik laporan Sinar harian.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh dan memerintahkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 November depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button