JENAYAH & MAHKAMAH

Suri rumah enam anak didenda RM10,000 ugut sebar gambar lucah lelaki

GEORGETOWN – Seorang suri rumah dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar lucah seorang lelaki, Jun lalu.

Tertuduh, Nur Husna Noor Baharuddin, 33, turut berdepan hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun dengan mendatangkan ketakutan sehingga mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,750.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1, pada jam 3.30 pagi, 14 Jun lalu.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan terhadap mangsa yang terpaksa menanggung tekanan akibat ugutan tersebut.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum memandangkan anak guamnya mempunyai enam anak, termasuk seorang bayi berusia enam bulan serta seorang anak autisme berumur dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui Facebook pada 12 Jun lalu sebelum wanita itu menawarkan untuk menghantar gambar dan video lucah miliknya.

Mangsa menerima kandungan lucah tersebut melalui WhatsApp, namun dua hari kemudian, tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar lucah mangsa yang diperoleh melalui rakaman panggilan video sekiranya tidak diberikan wang RM3,750.

Ketakutan dengan ugutan itu, mangsa melakukan 10 transaksi pemindahan wang ke akaun tertuduh, namun wanita berkenaan terus menuntut bayaran tambahan menyebabkan mangsa akhirnya membuat laporan polis.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak serta mengambil kira keadaan tertuduh yang mempunyai tanggungan keluarga besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button