Peguam mabuk dipenjara 14 hari, didenda RM12,000
KUALA LUMPUR – Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk.
Keputusan itu dibuat oleh hakim, Aslam Zainuddin selepas semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 15 April lalu.
Tertuduh, Chia Wilson, 38, sebelum ini dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 selama dua tahun, namun hukuman itu dipinda kepada hukuman lebih berat.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, selain lesen memandunya dibatalkan selama dua tahun.
Selain itu, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta, manakala pihak pembelaan diminta memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah memandu kereta jenis Mercedes dengan kandungan alkohol sebanyak 71 miligram dalam 100 mililiter darah, melebihi had ditetapkan 50 miligram.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Awan Besar dari Bukit Jalil menghala ke arah Puchong pada jam 12.40 tengah malam, 27 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








