BERITA SEMASADALAM NEGERI

Peguam minta saksi tampil bantu siasatan kes Zara Qairina

KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Peguam Hamid Ismail berkata, pihaknya kini dalam proses mengumpul keterangan saksi untuk tujuan pendakwaan serta persediaan inkues yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

“Mohon saksi yang masih ada, tolong tampil. Itulah permintaan spesifik kami. Setakat ini ada beberapa individu telah berjumpa dengan saya dan ada juga maklumat yang diterima secara peribadi, namun ia perlu ditapis,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Mengulas lanjut, Hamid enggan mendedahkan sama ada saksi terbabit terdiri daripada pelajar sekolah, sebaliknya menegaskan aspek keselamatan mereka perlu dijaga.

“Untuk keselamatan, saya tidak boleh dedahkan tetapi Alhamdulillah memang ada (saksi tampil),” ujarnya.

Menurutnya, pihak peguam juga akan terus berhubung dengan Noraidah dari semasa ke semasa bagi memaklumkan perkembangan kes.

Kematian Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, mencetuskan perhatian umum selepas dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah, sekali gus mendapat liputan meluas termasuk di media sosial.

Sementara itu, Hamid memaklumkan pasukannya kini menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk menjadi ‘interested party’ dalam prosiding inkues yang dijadualkan bermula pada 3 September depan.

“Kami menunggu tarikh pendengaran, mungkin dalam minggu ini,” katanya, merujuk kepada permohonan yang dikemukakan selepas sebutan inkues di Mahkamah Koroner, di sini, Isnin lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button