Jumlah titik panas kebakaran hutan, tanah menurun – Kementerian Perhutanan Indonesia
JAKARTA – Jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di seluruh Indonesia menurun kepada 365 setakat Isnin berbanding 559 sehari sebelumnya, menurut Kementerian Perhutanan.
Ketua Biro Perhubungan Awam dan Kerjasama Antarabangsa kementerian itu, Ristianto Pribadi berkata, Kalimantan Tengah mencatat penurunan paling ketara dalam kalangan enam wilayah, daripada 134 kepada 37 titik panas.
Kalimantan Selatan pula turun kepada empat daripada 25, manakala Kalimantan Barat merekodkan sifar berbanding 11 sebelum ini.
Riau kekal mencatat sifar titik panas.
Bagaimanapun, Sumatera Selatan meningkat kepada 96 titik panas daripada 29, tertinggi dalam kalangan enam wilayah itu, manakala Jambi naik kepada 25 daripada lima.
“Titik panas bukan menunjukkan jumlah sebenar kejadian kebakaran, sebaliknya petunjuk anomali suhu permukaan yang dikesan satelit.
“Satu kejadian kebakaran boleh dikesan sebagai beberapa titik panas, justeru semua petunjuk perlu disahkan melalui pemeriksaan di lapangan,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Ristianto berkata, perhatian khusus terus diberikan kepada kawasan tanah gambut kerana kebakaran boleh berlaku di bawah permukaan walaupun api di atas tanah kelihatan telah padam.
“Operasi pembasahan dan penyejukan perlu diteruskan sehingga kawasan berkenaan benar-benar selamat,” kata beliau.
Beliau menjelaskan operasi pemadaman terus ditumpukan di kawasan yang mencatat peningkatan atau jumlah titik panas yang masih tinggi, khususnya Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah.
Sebanyak 61 pesawat kini siap siaga bagi operasi pemadaman, dengan 17 digunakan untuk rondaan dan operasi modifikasi cuaca, manakala 44 lagi bagi pengeboman air.
Daripada jumlah itu, 55 pesawat ditempatkan di enam wilayah keutamaan dan enam lagi menyokong operasi di kawasan lain yang terjejas. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







