BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kebakaran hutan di Sumatera meningkat 14 kali ganda, Riau terjejas teruk

JAKARTA – Indonesia berdepan krisis kebakaran hutan dan kawasan pertanian semakin meruncing di Pulau Sumatera apabila jumlah titik panas melonjak mendadak daripada 94 kepada lebih 1,000 dalam tempoh hanya 10 hari.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) dalam laporan terkininya pada Isnin lalu mendedahkan sebanyak 1,292 titik panas dikesan di wilayah-wilayah terlibat dengan Riau mencatatkan angka tertinggi iaitu 582 titik panas, berbanding hanya 38 pada 12 Julai lalu.

Menurut Penyelaras BMKG Riau, Irwan Nasution, peningkatan itu disumbang oleh kemuncak musim kemarau yang sedang melanda selain penurunan mendadak dalam pembentukan awan dan hujan.

“Trend ini dijangka terus meningkat memandangkan keadaan cuaca semasa tidak menyebelahi sebarang usaha pemadaman secara semula jadi,” ujarnya.

Di Sumatera Barat, dua kawasan iaitu Kabupaten Solok dan Lima Puluh Kota telah mengisytiharkan darurat berikutan peningkatan mendadak titik panas di kawasan mereka.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD), Ilham Wahab, memaklumkan bahawa 14 kecamatan di Solok dilanda kebakaran hutan, manakala di Rokan Hilir dan Rokan Hulu, sebanyak 46 hektar kawasan telah musnah, sekali gus menyebabkan jerebu tebal dan jarak penglihatan terhad kepada hanya satu kilometer.

“Keadaan di Lima Puluh Kota pula lebih mencabar kerana sebahagian besar kawasan yang terbakar terletak di cerun curam dengan kecerunan 70 hingga 90 darjah, menyukarkan pasukan bomba untuk melakukan pemadaman,” katanya.

Bagi mengawal keadaan, helikopter pemadam api telah dikerah ke Sumatera Barat bagi membantu operasi pemadaman, susulan keutamaan telah diberikan kepada Riau dan Sumatera Selatan yang kini paling terjejas.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Data, Komunikasi dan Informasi Bencana BNPB, Abdul Muhari, memaklumkan bahawa langkah tambahan seperti rondaan udara dan penggunaan helikopter pengebom air sedang giat dilakukan bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Kita sedang fokus kepada operasi bersepadu udara dan darat agar kebakaran ini tidak menjejaskan lebih banyak kawasan serta penduduk,” jelas beliau.

Indonesia berdepan krisis kebakaran hutan dan kawasan pertanian semakin meruncing di Pulau Sumatera.

Fenomena ini dijangka memberi kesan kepada kualiti udara di beberapa kawasan di sekitar Sumatera dan berpotensi menjejaskan negara jiran sekiranya tidak ditangani segera.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button