BERITA SEMASA

Usai damaikan 2 negara, PM kini selamat tiba di Indonesia untuk lawatan kerja

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, Indonesia untuk lawatan kerja selama dua hari bermula semalam.

Menurut Perdana Menteri, beliau dijadualkan untuk bertemu Presiden  Indonesia, Prabowo Subianto hari ini.

“Usai urusan di Putrajaya, saya kini turun ke Jakarta, Indonesia dalam rangka lawatan kerja yang bermula hari ini dan esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga memohon doa kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lawatan kerja kali ni memberi manfaat yang terbaik buat rakyat kedua-dua negara.

Ketibaan Anwar di Indonesia kurang empat jam selepas menjadi perantara rundingan damai Kemboja-Thailand.

Dalam rundingan damai itu, Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menamatkan perang selama lima hari.

Terdahulu Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada jam 8 malam waktu tempatan dengan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta untuk memulakan lawatan kerja beliau di Republik Indonesia. 28 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. 

Turut hadir menyambut ketibaan Anwar ialah wakil Kerajaan Indonesia terdiri daripada Menteri Luar, Sugiono; Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian; dan Timbalan Gabernor DKI Jakarta, Rano Karno.

Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia adalah mekanisme dua hala tertinggi antara kedua-dua negara bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dan menyeluruh.

Mesyuarat itu diadakan bergilir antara kedua-dua negara sejak 2006, dan ia mencerminkan komitmen politik yang kukuh bagi mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan serta pendidikan.

Rundingan Tahunan terakhir diadakan pada 2017, menjadikan pertemuan kali ini sebagai peluang tepat untuk kedua-dua pemimpin memperteguhkan hubungan strategik dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button