PM umum had BUDI95 untuk pemandu e-hailing dinaikkan hingga 800 liter sebulan
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meningkatkan siling penggunaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan, berkuat kuasa dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dibuat selepas kerajaan meneliti maklum balas daripada pemandu e-hailing yang mendakwa jumlah semasa masih belum mencukupi bagi menampung kos operasi harian.
“Pada Oktober, subsidi bagi pemandu e-hailing aktif telah dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter kepada 58,000 pemandu aktif yang layak setiap bulan.
“Namun, ada lagi rakan-rakan pemandu e-hailing merasakan jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Maka kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing layak kepada sehingga 800 liter sebulan,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang meminta penjelasan berhubung kemajuan pelaksanaan BUDI95 bagi bulan pertama.
Program BUDI95 dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif BUDI MADANI bagi menyalurkan subsidi petrol secara lebih bersasar, termasuk kepada golongan berpendapatan rendah dan pemandu e-hailing aktif yang layak.
Dalam masa sama, Anwar memaklumkan purata penggunaan petrol RON95 bagi setiap pengguna BUDI95 pada Oktober lalu hanyalah 98 liter, bersamaan 33 peratus daripada had maksimum 300 liter sebulan yang ditetapkan di bawah program berkenaan.
“Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan. Mereka yang menggunakan lebih daripada 300 liter hanyalah 0.7 peratus,” jelasnya.
Sementara itu, Anwar selaku Menteri Kewangan juga mengumumkan kemudahan yang sama turut diberikan kepada pemandu teksi lapangan terbang di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








