Malaysia tegas tolak pengiktirafan Israel terhadap Somaliland
PUTRAJAYA – Malaysia menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan Israel terhadap wilayah pemisah Somaliland, di samping membantah sebarang usaha menjadikan wilayah itu sebagai destinasi pemindahan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia itu selaras dengan pendirian negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut mengecam pengiktirafan Israel terhadap wilayah itu.
“Malaysia menentang tegas terhadap sebarang percubaan untuk menggunakan “Somaliland” atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan atau pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari Gaza,” tegas beliau dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, keputusan Israel mengiktiraf wilayah Somaliland yang memisahkan diri daripada Somalia sebagai sebuah negara berdaulat telah mencetuskan kemarahan meluas di Afrika dan dunia Arab.
Israel menjadi negara pertama di dunia yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai negara berdaulat pada 26 Disember lalu.
Langkah tersebut segera menerima kecaman keras daripada Kesatuan Afrika, Liga Arab, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara seperti Mesir dan Turkiye.
Tegas Anwar lagi, tindakan sedemikian adalah tidak boleh diterima sama sekali, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan, selain hanya akan memanjangkan ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan.
Menurut beliau, Malaysia juga menolak segala tindakan yang melemahkan dan menjejaskan ketertiban undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh situasi di Gaza dengan mengambil maklum perbincangan terbaharu yang diadakan di Florida berhubung fasa seterusnya proses damai.
Beliau menegaskan, tidak boleh berlakunya sebarang keganasan berskala besar kerana ia akan mengakibatkan penderitaan yang tidak tertanggung kepada orang awam serta terus merencatkan prospek keamanan yang sedia rapuh.
“Sebarang penyambungan semula keganasan akan mengorbankan orang awam dalam jumlah besar dan terus menghakis harapan untuk keamanan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan Israel mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas tindakan serta kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya dalam menangani konflik berpanjangan di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








