BERITA SEMASA

9 aktivis Malaysia selamat tiba di Istanbul, dijangka pulang ke tanah air esok

KUALA LUMPUR – Sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis dilaporkan telah selamat tiba di Istanbul, Turkiye malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan bahawa kesemua mereka kini dalam keadaan selamat dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

“Alhamdulillah, warga Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel selamat sampai di Istanbul sebentar tadi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kumpulan aktivis itu akan menaiki pesawat Saudia Airlines SV278 dari Istanbul pada pukul 6.25 petang waktu tempatan, sebelum transit di Jeddah.

Mereka kemudiannya akan meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Saudia SV834 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada pukul 3.55 petang Ahad, 12 Oktober ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye dan Arab Saudi atas bantuan serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan dan urusan kepulangan aktivis Malaysia tersebut berjalan lancar.

Terdahulu, kesemua aktivis tersebut merupakan sebahagian daripada pasukan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang dipintas tentera Israel dalam pelayaran memecah kepungan di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button