BERITA SEMASALUAR NEGARA

10 rakyat Malaysia antara ditahan Israel malam tadi

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza berdepan detik getir apabila enam buah bot ditahan tentera Israel lewat malam tadi, mengakibatkan 10 rakyat Malaysia antara yang ditahan.

Menurut kenyataan Sumud Nusantara, insiden berlaku pada jam 9.47 malam waktu Gaza (3 pagi waktu Malaysia) ketika flotila berkenaan sedang berlayar di zon merah.

Bot yang ditahan dikenal pasti sebagai Alma, Surius, Adara, Spectra, Huga dan Dir Yassine.

Antara rakyat Malaysia di atas bot berkenaan ialah Zulfadhli, Ruysdi, Musa, Haikal, Muaz, Iylia, Sul Aidil dan Zizi.

Terkini, dua lagi rakyat Malaysia iaitu Farah Lee dan Danish, turut ditahan menjadikan jumlah keseluruhan 10 orang.

Turut ditahan aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg.

Setakat jam 5.30 pagi waktu Malaysia, sebanyak 16 buah bot lain dilaporkan mengaktifkan isyarat kecemasan (SOS) selepas komunikasi langsung dengan peserta misi terputus.

Difahamkan, kapal perang Israel kini membentuk susunan seakan ‘pagar laut’ bagi menyekat laluan flotila, selain mengeluarkan amaran melalui radio dan melepaskan tembakan meriam air ke arah bot sukarelawan.

Sementara itu, menurut Sumud Nusantara, kapal Jong Melayu yang dinaiki Nadir al-Nuri dilaporkan masih berada di luar ‘garisan merah’ dan menjadi satu-satunya harapan untuk menyalurkan perkembangan terkini kepada dunia.

Menurut sumber, jarak flotila ke Gaza ketika kejadian berbaki 63 batu nautika dengan anggaran 16 jam lagi sebelum tiba, bergantung kepada keadaan semasa.

Sehubungan itu, umat Islam di tanah air diseru menunaikan solat Subuh dengan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti dan doa keselamatan buat para sukarelawan yang ditahan dan masih meneruskan pelayaran menuju Gaza.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button