SPRM siasat UiTM Holdings
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memulakan siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023.
Siasatan tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
SPRM dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, siasatan berkenaan masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim bin Aman, ketika dihubungi, mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau turut menegaskan bahawa SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








