KP, TKP JAS tiba di Mahkamah Putrajaya bagi permohonan reman kes e-waste
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah dan seorang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 9.35 pagi, hari ini bagi tujuan permohonan reman selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 6.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, siasatan SPRM tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kedua-dua individu terbabit disiasat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.
“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM memperhebatkan siasatan terhadap kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram selepas risikan mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Keputusan permohonan reman dijangka dibuat oleh mahkamah hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















