BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tumpaskan sindiket seludup diesel akibatkan kerajaan rugi lebih RM247 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan penyelewengan diesel di Sabah dan Sarawak yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM247 juta dalam sedekad lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembongkaran kegiatan haram itu adalah hasil maklumat awam, sebelum serbuan dijalankan menerusi ‘Op Karen’ yang bermula pada 2 hingga 8 September lalu.

Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) diketuai SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) serta Jabatan Laut.

“Operasi ini yang membanteras sindiket terbabit dalam kegiatan rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram menyebabkan kerugian hasil kerajaan yang dianggarkan RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

“Jumlah ini adalah anggaran awal, namun kerugian sebenar berkemungkinan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

SPRM
Barang rampasan SPRM yang dipamerkan semasa sidang media hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Selain itu, Azam berkata, seramai enam individu ditahan membabitkan empat pengarah dan dua pengurus syarikat pembekalan bahan api berkenaan.

Katanya, seramai 36 individu turut diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api itu ke seluruh Sarawak dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.

Rangkaian sindiket itu dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri terbabit.

Hasil rasuah itu, sindiket ini berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Sindiket dipercayai memonopoli tender ini sejak 10 tahun lalu dengan menawarkan harga minyak diesel yang rendah berbanding syarikat pengeluar minyak besar yang lain.

Selain itu, bekalan minyak diesel untuk dibekalkan kepada kerajaan negeri ini juga dipercayai diseludup serta diseleweng kepada kapal luar pesisir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button