Pegawai ditahan SPRM: ATM tidak akan lindungi mereka yang terlibat sindiket penyeludupan
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang terbabit dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah, rokok dan pelbagai barangan lain.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, tindakan disiplin tegas serta undang-undang akan dikenakan sekiranya terbukti bersalah.
“ATM mengambil maklum laporan media berhubung penahanan beberapa pegawai yang disyaki terlibat.
“Perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan ATM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses tersebut.
Menurutnya, sebarang perkembangan hasil siasatan dan tindakan lanjut akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Sebelum itu, SPRM melaporkan pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan ATM di selatan tanah air menerusi Ops Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Operasi yang dilancarkan sekitar jam 6.30 pagi itu membawa kepada penahanan lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati pegawai kanan terbabit dipercayai membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup serta bersekongkol membawa masuk barangan larangan dari negara jiran ke Malaysia, melibatkan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








