BERITA SEMASADALAM NEGERI

Integriti tunjang SPRM, penguasa diingat pegang amanah negara

KUALA LUMPUR – Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan supaya menanam dan memelihara nilai integriti sebagai teras utama perkhidmatan termasuk sentiasa berkata benar, mengelakkan konflik kepentingan serta mempertahankan maruah Suruhanjaya sebagai amanah negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, pegawai SPRM perlu memiliki keberanian moral yang tinggi dalam menegakkan kebenaran tanpa memilih bulu, selari dengan semangat memerangi rasuah secara tegas dan berprinsip.

“Pegawai bukan sahaja perlu berani, malah bersifat radikal dalam memerangi rasuah serta berani menolak sebarang arahan yang jelas bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM P9 Siri 9 Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Tun Dr. Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini, semalam.

Menurut Junipah, kursus berkenaan merupakan medan penting dalam membentuk pegawai yang beralih daripada peranan pelaksana kepada penyelia dan pemimpin yang memikul tanggungjawab serta akauntabiliti lebih besar.

Seramai 35 pegawai SPRM terlibat dalam kursus selama dua minggu yang bermula dari 19 hingga 30 Januari lalu, melibatkan latihan di Kem Amazing Legacy, Lenggong, Perak serta MACA.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas MACA, KPKPj Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan; Pengasas Kem Amazing Legacy, Datuk Abdul Rashid Harun serta pegawai kanan SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button