Bekas Pengerusi TH, KSU Perbendaharaan bebas reman SPRM
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan dibebaskan daripada tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut sumber, kedua-duanya dibebaskan pagi tadi selepas tempoh reman selama tujuh hari yang bermula 27 Ogos lalu bagi membantu siasatan berkaitan isu pengurusan TH.
Memetik laporan Bernama, proses merakam keterangan kedua-dua individu berkenaan telah dilengkapkan oleh pegawai penyiasat SPRM.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-duanya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Laporan RCI berkenaan dimuat naik menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Antara lain, laporan itu mencadangkan audit forensik dijalankan bagi meneliti proses serta kaedah keputusan pelaburan terdahulu yang didakwa menyebabkan TH berdepan kemerosotan nilai aset yang ketara.
RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan penelitian melalui audit forensik.
Laporan berkenaan turut mendapati wujud transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat dalam pengurusan institusi berkenaan.
Skop siasatan RCI meliputi isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan mengambil kira penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.
Bagaimanapun, skop berkenaan tidak merangkumi pelan penstrukturan serta pemulihan TH yang sedang dilaksanakan ketika itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






