Laporan RCI TH didedah hari ini, siasatan diteruskan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, selain itu Jemaah Menteri juga bersetuju membentangkannya untuk dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fahmi, laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pihak pengurusan TH memaklumkan bahawa sebanyak 75 peratus daripada syor berkenaan telah berjaya dilaksanakan.
Katanya, Jemaah Menteri turut mengambil maklum mengenai prestasi semasa TH yang mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencerminkan keadaan pengurusan institusi itu yang kini berada pada tahap lebih baik.
Dalam pada itu katanya, kerajaan memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguat kuasa berdasarkan dapatan Laporan RCI diteruskan serta-merta.
Menurut beliau lagi, mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang berdasarkan hasil siasatan akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















